Di Malaysia kepercayaan kepada kemungkinan wujudnya Zaman Gangsa dan Besi serentak didasarkan kepada bukti-bukti arkeologi. Antara bukti-bukti itu termasuklah yang terdapat di tapak arkeologi di Sungai Lang, Selangor dan kubur-kubur Batu Kepingan yang dijumpai di Changkat Menteri, Perak. Manik dan mangkuk gangsa yang dijumpai bersama-sama dengan gendang gangsa jenis Dong-son di Sungai Lang dijumpai juga di tapak kubur di Changkat Menteri. Di kubur itu dijumpai juga alat-alat daripada besi. Selain jumpaan alat-alat gangsa dan besi sezaman bukti-bukti kewujudan Zaman Gangsa tempatan adalah kecil sekali. Tetapi alat-alat yang diperbuat daripada besi dijumpai hampir di seluruh Malaysia.Antara alat-alat besi yang menarik yang dijumpai termasuklah satu jenis alat yang diberi nama ‘tulang mawas’. Setakat ini tidak ada pendapat yang tepat tentang fungsi alat itu. Alat-alat lain yang dijumpai ialah beliung dan cangkul dan fungsinya ialah untuk memotong, menebas dan menggali.