Binatang yang dimakan mereka dapat dikesan jenisnya daripada tinggalan tulang. Antara binatang-binatang itu termasuklah babi, monyet, rusa dan pelanduk. Makanan itu diperolehi dari alam sekitar. Kalaulah mereka hidup di tepi pantai, pastilah hasil laut yang banyak dijadikan sumber makanan dan begitu juga kalau mereka tinggal di kawasan pedalaman maka bahan dari sungai, hutan dan bukit-bukau dijadikan sumber makanan yang utama. Seperkara yang menarik pada zaman Neolitik ini ialah kebolehan dan peningkatan dalam teknologi membuat perahu dan kemampuan meneroka kawasan yang jauh dengan perahu yang dicipta oleh mereka.Oleh itu, bagi masyarakat yang hidup di pedalaman, maka sungai dan darat dijadikan penghubung di antara penduduk di satu kawasan dengan kawasan yang lain. Masyarakat pesisir pula menjadikan laut sebagai jalan perhubungan berinteraksi dengan masyarakat luar.Oleh itu adalah pasti bahawa telah wujud interaksi antara masyarakat pesisir setempat dengan masyarakat pesisir dari luar Malaysia. Mungkin hubungan awal adalah antara masyarakat yang berdekatan sahaja, tetapi akhirnya hubungan dengan masyarakat yang jauh terjalin juga. Dengan itu wujudlah perdagangan primitif, iaitu melalui pertukaran barang. Pada waktu itu juga masyarakat pesisir menjalin hubungan dengan masyarakat pedalaman. Maka pada zaman ini wujudlah hubungan antara masyarakat pesisir dengan masyarakat pedalaman dan antara masyarakat pesisir dengan masyarakat di luar Malaysia melalui perjalanan laut. Masyarakat pedalaman pula berinteraksi dengan masyarakat di luar kawasan yang dikenal sebagai Malaysia hari ini melalui jalan darat, khususnya antara masyarakat di Semenanjung Malaysia dengan masyarakat di kawasan selatan Thailand.